Prinsip Asas Grafik

Memahami elemen dan prinsip grafik bagi menghasilkan reka bentuk grafik yang baik.

Reka Bentuk Pengajaran.

Perbincangan tentang konsep, amalan, teori dan model reka bentuk pengajaran berdasarkan tokoh-tokoh terkenal.

Bahan Audio Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran.

Kesan bunyi audio dan keseragaman elemen-elemen bunyi mampu memukau pelajar. Ikuti bagaimana ianya dihasilkan.

Media Pengajaran

Apakah media pengajaran? Bagaimana media boleh meningkatkan keberkesanan proses Pengajaran dan Pembelajaran? Bagaimana media boleh diklasifikasikan? Apakah fungsi media pengajaran?

Kawal Penggunaan Komputer Anak-anak Anda Dengan Cara Mudah

Panduan menggunakan aplikasi Windows untuk menentukan tahap keselamatan akses komputer.

27 December 2010

Reka Bentuk Pengajaran

3.1    Pengenalan kepada Reka Bentuk Pengajaran (RP)
3.2    Model-model reka bentuk pengajaran
3.3    Model  ASSURE dan ADDIE sebagai  panduan model pemilihan media dalam   pengajaran
3.4    Peranan dan kepentingan reka bentuk pengajaran

Hasil Pembelajaran
a.        Menghuraikan konsep reka bentuk pengajaran;
b.        Mengenalpasti pelbagai model reka bentuk pengajaran mengikut klasifikasi oleh Gustafson.
c.        Menganalisis model dan mengaplikasikan model ASSURE atau model ADDIE dalam pemilihan media pengajaran.
d.        Menyenaraikan kepentingan reka bentuk pengajaran



Pengenalan kepada Reka bentuk Pengajaran (RP)
  •  Apakah yang dimaksudkan dengan Reka Bentuk Pengajaran?
  • Kenapa bidang ini harus difahami oleh guru sebagai salah satu aspek perancangan dalam pengajaran?
Mengikut Smith & Ragan, 1999, p.2,  Reka Bentuk Pengajaran ialah proses memindah dan menggunakan prinsip-prinsip pembelajaran dan pengajaran ke dalam satu bentuk perancangan untuk bahan serta aktiviti pengajaran.

“Designing instruction is the process of translating principles of learning and instruction into plans for instructional materials and activities.”

Dick dan Reiser (1989) mendefinasikan  RP sebagai satu proses yang sistematik untuk mereka bentuk, membangun, melaksana dan menilai pengajaran.

Manakala  Richey, (1986)      menganggap RP sebagai satu bidang ilmu sains yang mencipta spesifikasi pengajaran dengan terperinci untuk pengembangan, penilaian dan penyenggaraan suatu keadaan yang boleh memudahkan pembelajaran sesuatu unit pelajaran

Yusuf Hashim, (1997), menggunakan istilah Reka Bentuk Instruksional dalam membincangkan ruanglingkup yang berkaitan dengan perkara yang sama.
 Pemilihan media pengajaran mempunyai hubungan yang rapat dalam proses merancang sesuatu topik atau aktiviti pengajaran untuk menentukan keberkesanannya (Ismail Md. Zain, 2002).  Dick & Reiser (1985) memperjelaskan konsep ini  dan mencadangkan satu model reka bentuk pengajaran. 

Seseorang guru harus mengetahuan aspek reka bentuk pengajaran kerana tanpa perancangan yang lengkap dan sistematik, seseorang guru tidak dapat mencapai keberkesanan dalam pengajaran terutamanya dalam proses pemilihan dan pengaplikasian media pengajaran. Terdapat banyak model reka bentuk pengajaran seperti yang disenaraikan di atas, tetapi keseluruhannya mengandungi beberapa aspek asas  merangkumi:

a.        analisis keperluan pelajar;
b.        menentukan matlamat dan objektif;
c.        memilih dan membina media pengajaran
d.        mereka bentuk dan memilih strategi penyampaian;
e.        mencuba sistem pengajaran; dan
f.         menilai keseluruhan sistem.


Model-model reka bentuk pengajaran
Beberapa model  yang menyentuh aspek pemilihan media dalam pengajaran ialah Model ASSURE (Heinich & rakan-rakan (1996), Model Anderson (1976), Branson, dan rakan-rakan, (1979), Gropper (1976), Kemp (1980), Romiszowski (1974), Tosti & Ball (1969) dan Model PIE (Newby T.  & rakan-rakan 2000).

Model ASSURE dan ADDIE sebagai  panduan model pemilihan media dalam   pengajaran
Huraikan komponen-komponen yang terdapat pada Model ASSURE dan ADDIE
Sejauhmana model ini dapat membantu guru menggunakan media dalam bilik darjah.

    Model ASSURE dan ADDIE  ialah model reka bentuk pengajaran yang sesuai untuk digunakan dalam situasi pengajaran di bilik darjah yang memerlukan penggunaan media. Kedua-dua model ini merupakan akronim bagi menghurai prosedur dalam memilih  dan menggunakan media pengajaran tersebut.

    Model ASSURE mengandungi 6

    Model ASSURE mengandungi enam langkah: analisis ciri pelajar, nyatakan objektif, pilih media dan bahan, gunakan media dan bahan, libatkan pelajar, nilai dan semak semula media dan bahan.
     1.   Analisis ciri pelajar.
           a)   Mengenal pasti ciri-ciri umum seperti jantina, umur, bakat, gaya pembelajaran, kelas dan taraf sosioekonomi,

           b)     Mengenal pasti ciri-ciri peringkat masuk (specific entry characteristics) dan pengetahuan yang sedia ada yang berkaitan dengan tajuk dan kandungan pelajaran seperti pengetahuan, kemahiran dan sikap pelajar.  

    2.    Nyatakan objektif-objektif  pembelajaran secara khusus.

           a)    Objektif mungkin diambil dari sukatan pelajaran, panduan kurikulum atau buku teks.

    b)    Penentuan objektif adalah berdasarkan kepada peringkat prestasi yang ingin dicapai, keadaan pembelajaran dan kriteria atau darjah pencapaian yang dihajati.

    c)    Pilih media dan bahan.
    Bahan media dipilih berdasarkan kepada tingkat kebolehan pelajar dan matlamat atau objektif pembelajaran yang ingin dicapai.

     4.   Gunakan alat/bahan pengajaran.

           a)    Sediakan media dan bahan yang akan digunakan dan masa pembelajaran yang diperlukan. Contoh: Pribiu (Preview) video sebelum mengajar.

           b)    Kemudian sediakan media dan bahan-bahan, alat-alat serta kemudahan-kemudahan yang diperlukan.

           c)     Sediakan tempat belajar seperti kelas, makmal atau pusat sumber dan lain-lain kemudahan dan keperluan untuk belajar.

           d)    Sediakan pelajar. Contoh, sediakan set induksi atau nyata­kan tujuan dan objektif pembelajaran.

           e)    Sedia pengalaman pembelajaran. Bagaimana anda menyampaikan media? Sebagai penyampai utama atau bertindak sebagai pemudah cara atau pengurus pembelajaran?

     5.   Libatkan pelajar.
           Untuk mempastikan bahawa proses pembelajaran itu berlaku, pelajar perlu dilibatkan dalam aktiviti pembelajaran seperti mem­buat latihan, perbincangan, latih tubi, kuiz, projek dan sebagai­nya. Kegiatan pengukuhan (reinforcement activities) seperti pengukuhan serta?merta diberi selepas pelajar memberi tindak  balas yang betul (Skinner, 1954).

     6.   Nilai dan semak semula bahan.
           Setelah selesai pengajaran, penilaian tentang kekuatan dan keberkesanan bahan media itu secara menyeluruh harus dijalankan. Dalam penilaian itu soalan berikut harus difikirkan:

    a.       Adakah objektif-objektif pembelajaran tercapai?
    b.       Adakah alat/bahan media yang digunakan membantu proses pengajaran-pembelajaran? Adakah kesemua pelajar menggunakan alat/bahan media dengan cara yang betul?
    c.       Adakah suasana pembelajaran selesa?
    d.       Adakah peluang-peluang pemerhatian individu diberi?

    Model ADDIE mengandungi 5 langkah iaitu:
    A – Analyse (Analisis)
    ·          Mengenalpasti  pelajar dan ciri-cirinya.
    ·          Mengenalpasti hasilan pembelajaran
    ·          Kekangan yang wujud dalam proses pembelajaran
    ·          Pelbagai pilihan strategi pengajaran
    D – Design (Reka bentuk)
    ·          Medokumentasikan aspek teknikal dalam penggunaan media
    ·          Menaplikasikan strategi pengajaran mengikut domain yang tertentu  (cognitive, affective, and psychomotor).

    D – Develop (Bina)
    Pada fasa ini pereka bentuk pengajaran dan pembina (developer) akan mengumpul isi pengajaran. Papan cerita akan ditulis dan aspek grafik akan dilakar. Aspek teknikal akan diujilari dan pengubahsuaian akan dibuat.

    I – Implement (Laksana)
    Dalam melaksanakannya latihan akan dijalankan untuk mempastikan hasilan kerja dalam dilaksanakan dengan baik.

    E – Evaluate  (Nilai)
    Penilian dilaksanakan secafa formatif dan sumatif. Penilaian formatif dilaksanakan pada setiap peringkat dalam proses ADDIE. Penilaian sumatif dilaksanakan mengikut kriteria tertentu juga melalui maklum balas daripada pelajar untuk diubahsuai






    Peranan dan kepentingan reka bentuk pengajaran
    ·         Apakah tujuan reka bentuk pengajaran?
    ·         Bagaimana reka bentuk pengajaran membantu proses P&P?
    ·         Apakah peranan dan kepentingan rekabentuk pengajaran dalam merancang sesuatu proses P&P? 

    Tujuan utama reka bentuk pengajaran adalah untuk menghasilkan pengajaran yang berkesan bagi membolehkan pelajar memperoleh kemahiran, pengetahuan dan sikap yang diharapkan serta digemari oleh para pelajar. Pengajaran yang dirancang dengan teliti dan lengkap mewujudkan keyakinan, kepercayaan dan perasaan hormat pelajar terhadap pengajar, sekaligus membina disiplin yang positif. Ini kerana pengajar dapat melaksanakan pengajaran dengan lancar dan menarik serta tidak membazir masa dan sistematik.

    Dalam proses pemilihan bahan pula sesuatu model reka bentuk pengajaran itu mampu membimbing dan membantu guru untuk membuat pilihan, menghasilkan serta menggunakan media tersebut secara lebih tepat berlandaskan kriteria yang dinyatakan seperti  bersesuaian dengan ciri-ciri pelajar, memenuhi objektif pengajaran serta melalui proses penilian bahan agar penggunaannya nanti lebih mantap, berkesan dan mendapat respons yang positif daripada pelajar. 

    17 December 2010

    Media Unjuran


    Jenis dan penggunaan media unjuran
    1. Projektor lutsinar (OHP)
    2. Projektor Slaid
    3. Projektor terus (Opaque)
    4. Projektor LCD

    Definisi Bahan Tayangan
    Media tayang atau media unjuran adalah peralatan elektrik yang dapat menayangkan atau mengunjurkan satu imej di atas sekeping skrin tayangan besar atau yang bersesuaian dengan peralatan tayang tersebut.

    Jenis-Jenis Dan Penggunaan Media Unjuran
    Peralatan-peralatan yang biasa digunakan ialah:
    1      Projektor lutsinar (OHP)
    2      Projektor Slaid
    3      Projektor terus (Opaque)
    4      Projektor LCD

    PROJEKTOR LUTSINAR (OVERHEAD PROJEKTOR)
    Projektor lutsinar adalah merupakan sebuah alat pandang dengar yang boleh digunakan dalam keadaan bilik darjah biasa.  Projektor ini merupakan satu ABM dalam mencapai pengajaran yang lebih berkesan, di mana pelajar-pelajar akan menerima pembelajaran dengan cara melihat dan mendengar.


    Kebaikan OHP
    1.    Tanpa perlu menggelapkan bilik
    2.    Kawalan kelas (guru menghadap kelas)
    3.    Guru sentiasa menghadap bahan
    4.    Mudah disediakan , menarik perhatian & berwarna warnia
    5.    Maklumat boleh ditambah terus
    6.    Kemahiran asas sahaja diperlukan
    7.    Objek 3D (silhoutte) bayang dpt digunakan

    Panduan Penggunaan
    1.    Pastikan anda betul-betul memahami buatan/ jenama dan fungsi bahagian-bahagian projektor yang anda gunakan.  Ini mungkin berbeza antara satu alat dengan alat yang lain.

    2.    Anda hendaklah belajar mengesan kerosakan pada mentol supaya boleh membaikinya sendiri.  Berhati-hati apabila membaikinya sendiri.  Berhati-hati apabila menggantikan mentol. Jangan sentuh dengan tangan yang tidak berlapik kerana mentol mudah rosak apabila disentuh dengan kelembapan tangan.

    3.    Bersihkan alat tayang lutsinar sekali-sekala di bahagian dalam piring cermin dan lensa fresnel.

    4.    Suatu unit alat tayang lutsinar yang bergerak hendaklah menggunakan troli supaya senang dipindah dari satu tempat ke satu tempat lain. Matikan suis sebelum mengubah alat tayang lutsinar.

    5.    Gunakan skrin yang sesuai bagi mendapatkan hasil tayangan yang baik. Jenis-jenis skrin yang boleh digunakan ialah:
    a.    Matt Screen - kain putih atau kanvas diregang kuat dan dicat putih, jenis tidak membalikkan cahaya (malap).
    b.    Glass Hardened Screen – kain putih yang disembur dengan serbuk kaca halus.
    c.    Silver Metallic Screen – antara yang terbaik sekali, memberi ketepatan pengunjuran hampir seratus peratus.
    d.    Dinding atau papan bercat putih

    6.   Untuk tayangan yang terbaik, perkara berikut hendaklah diperhatikan.
    a.Gunakan skrin 1.5 meter lebar untuk 40 orang penonoton.
    b.Elakkan penggunaan skrin.
    c.    Tayangan dalam bilik yang mendapat sedikit cahaya.
    d.Letakkan pada paras ketinggian 70cm dari lantai.
    e.Condongan 45 darjah untuk elakkan kesan herotan (keystone)
    f.     Pastikan skrin tegang dan tidak senget.
    g.Berhati-hati supaya tidak melindungi tayangan dari dilihat oleh penonton.
    h.Semua tulisan dan lukisan mestilah mengikut saiz yang sesuai.
    i.      Gunakan penunjuk yang runcing dan lurus. Elakkan menggunakan jari semasa menunjuk imej dan tunjukkan pada transparensi dan bukannya pada imej di skrin.

    Jenis-jenis Lutsinar
    1.    Tulis terus (write-on)
    a.                    Diperbuat daripada “acetate” dan polyster.
    b.    Mempunyai 3 peringkat ketebalan iaitu 0.08 mm, 0.1 mm dan 0.12mm. Untuk kegunaan am transparensi setebal 0.1 mm biasa digunakan.
    c.    Transparensi mempunyai dua saiz iaitu 260mm x 260mmm dan DIN A4 (210mm x 297mm).
    d.    Menggunakan pena berasaskan air atau pena berasaskan spirit.

    2.   Thermal (infra-merah)
    a.    Diproses dengan mesin “Transparensi Maker”.
    b.    Mempunyai pelbagai latar dan warna seperti Black on Clear (imej hitam latar belakang jernih), Black on Colour (imej hitam berlatarbelakang warna) Colour on Clear (imej berwarna latar belakang jernih).


    3.   Fotokopi
    a.    Diproses dengan menggunakan mesin fotostat (plain paper copier).
    b.    Bahan dasar diletakkan di bahagian atas cermin dan transparensi dimasukkan ke dalam dulang ke atas seperti membuat fotostat.
    c.    Gambar warna atau hitam boleh dipindahkan tetapi gambar berwarna akan menjadi hitam putih

    4.   Ink-jet Film
    a.    Ink-jet filem boleh digunakan terus dengan pencetak berasaskan ink-jet seperti Canon, Epson.
    b.    Bahan dasar boleh disediakan dengan menggunakan komputer dan arahan menyalin seperti mana anda membuat penyalin di atas kertas.
    c.    Bahan dasar berasaskan karbon contohnya keratan akhbar, pensil 2B, bahan fotokopi berasaskan debu, bahan cetak dari laser printer berasaskan debu.

    Teknik penghasilan Lutsinar
    1.   Terbuka
    Semua dokumen ditulis atau dilukis sama ada menggunakan tangan atau mesin secara terus di filem transperansi. Ia ditayangkan secara terus kepada penonton.

    2.    Bertingkap
    Mempunyai beberapa tingkap yang menutup bahagian-bahagian tertentu pada permukaan transperansi. Semasa digunakan, tingkap-tingkap tersebut akan dibuka satu demi satu seperti tetingkap rumah untuk memaparkan isi atau imej.

    3.    Bertindih (berlapis)
    Terdiri dari filem dasar yang diletakkan terus pada satu bingkai tetap dan beberapa filem tambahan yang diletakkan pada bahagian tepi bingkai mengikut urutan jam.

    4.    Pusingan
    Ia bertujuan pendedahan berperingkat atau bahagian demi bahagian bagi memperlihatkan apa-apa yang diperlukan sahaja. Ia boleh dibuat secara penutup sisipan ( secara menegak, mendatar atau pepenjuru atau penutup bulat. Penutup bulat boleh dibuat dengan memasang eyelet atau dipin ditengah-tengah.

    Prinsip penghasilan transparensi
    1.    Rancang kaedah atau teknik yang sesuai sebelum memulakan kerja-kerja membuat lutsinar.
    2.    Analisis maklumat yang akan disampaikan dengan teliti dari aspek kegunaan, objektif dan kandungan.
    3.    Tentukan format persembahan. Format memanjang atau menegak. Elakkan daripada mencampur adukkan format.
    4.    Pastikan setiap ciptaan (grafik, pernyataan) berada dalam 2 cm daripada tepi bahan lutsinar.
    5.    Kejelasan huruf bergantung kepada jenis, saiz, jarak antara huruf dan jarak antara baris.
    6.    Imej terkecil dilayar haruslah 1 inci tingginya bagi setiap 30 kaki jarak tayangan.
    7.    Gunakan huruf yang lebih besar bagi tajuk dan sub tajuk.
    8.    Hadkan tulisan di antara 6 hingga 7 baris dalam sekeping transparensi
    9.    Gunakan 7 hingga 10 perkataan untuk sebaris ayat


    Latihan

    Hasilkan empat (4) teknik transparensi berdasarkan prinsip grafik yang anda pelajari. Anda juga dicadangkan membina transparensi berdasarkan tiga jenis yang anda pelajari. Bincangkan teknik dalam tutorial.



    PROJEKTOR TERUS ATAU LEGAP (OPAQUE PROJEKTOR)
    Projektor legap juga dikenali sebagai episkop. Projektor ini digunakan untuk mengunjurkan imej bahan-bahan 2D berbetuk legap. Semua gambar, foto atau bahan-bahan bercetak yang bersifat legap (tidak ditembusi cahaya) boleh dipancarkan terus ke skrin dengan menggunakan projektor ini.

    Kebaikan projektor terus atau legap
    1.   Bahan legap sedia ada boleh terus dipancarkan tanpa perlu menukar dalam bentuk lutsinar.
    2.  
    PROJEKTOR LCD
    Projektor LCD ialah singkatan bagi Liquid Crystal Display digunakan untuk memancarkan imej dari isyarat yang diterima dari komputer, pemain cd/ dvd, perakam kamera atau perkakasan lain yang mempunyai sambungan soket AV.

    Pengoperasian Projektor LCD
    1.   Tempatkan di atas permukaan yang rata dengan kedudukan pada sudut tepat pada skrin paparan.
    2.   Sambungkan kabel VGA dari komputer ke soket VGA pada projektor.
    3.   On kan LCD dan komputer.
    4.   Jika perlu install driver pada komputer yang digunakan untuk mendapat ketepatan imej yang dipancarkan.
    5.   Laraskan ketinggian LCD dengan menyelaraskan kaki elevator yang terletak di bahagian bawah depan.
    6.   Untuk mendapatkan imej yang lebih jelas, laraskan Lens Focus Ring.


    Panduan Penggunaan Projektor LCD
    1.    Selepas menekan butang Standby untuk memadamkan lampu projektor, biarkan sekurangikurangnya 15 saat sebelum menekan butang Standby sekali lagi.
    2.    Elakkan membuka atau menutup suis berulang kali semasa pengoperasian.
    3.    Pastiakan tiada objek mudah terbakar berdekatan dengan projektor kerana setelah lama dibuka, projektor ini akan menjadi panas.
    4.    Biarkan projektor seketika untuk disejukkan sebelum menyimpannya.
    5.    Jangan didedahkan kepada kelembapan atau habuk.

    13 December 2010

    Media Pengajaran

    Hasil Pembelajaran :

    Dengan mengikuti modul ini anda akan dapat:

    a)     Menjelaskan konsep media dan media pengajaran
    b)     Merumuskan fungsi media pengajaran
    c)     Menyatakan pengkelasan media pengajaran
    d)     Menganalisis faktor dan cara permilihan media pengajaran
    e)     Menyata dan menghuraikan langkah penyediaan media pengajaran 

    Subtajuk :

    • Konsep Media Pengajaran
    • Fungsi media dalam pengajaran  dan  pembelajaran
    • Jenis-jenis dan klasifikasi media
    Kandungan :

    Apakah media pengajaran?
    Bagaimana media boleh meningkatkan keberkesanan proses Pengajaran dan Pembelajaran?
    Bagaimana media boleh diklasifikasikan?
    Apakah fungsi media pengajaran?
    Apakah faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan di dalam memilih media pengajaran?
    Apakah langkah-langkah yang perlu di dalam menyediakan bahan media pengajaran?

    2.1 Konsep Media dan Media Pengajaran

    Bidang teknologi pengajaran tercetus daripada pergerakan audio visual yang kemudiannya dikenali sebagai media pengajaran. Oleh itu, bolehlah dikatakan media pengajaran menjadi pengasas kepada penubuhan bidang teknologi pengajaran.

    Media atau medium bermakna saluran komunikasi. Istilah ini berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud perantara. Media digunakan untuk membantu proses komunikasi (Heinich, 2002) Ia merujuk kepada apa sahaja yang membawa maklumat daripada penyampai kepada penerima. Contoh media termasuklah filem, televisyen, radio, rakaman audio, gambar foto, bahan bercetak, komputer dan pengajar.

                Definisi asal tentang media menekankan bentuk atau cara fizikal yang membolehkan mesej pengajaran disampaikan. Ini bermakna yang menjadi fokus ialah peralatan yang membawa mesej dan mengenepikan peranan mesej itu sendiri. Sedangkan yang menggerakkan dan memberi kesan kepada manusia ialah mesej.

    Oleh itu menurut Torkleson (1972), media perlu mempunyai tiga bahagian, iaitu mesej, bentuk mesej dan saluran mesej.  Mesej merujuk kepada isi kandungan dalam media itu sama ada mesej yang berbentuk memberitahu, menaikkan semangat dan lain-lain adalah dikira sebagai mesej. Bentuk mesej pula berkaitan bagaimana mesej itu disimpan. Mesej boleh disimpan dalam bentuk perkataan, lisan, gambar, objek, simbol dll. Manakala saluran mesej ialah peralatan fizikal dalam bentuk elektrikal atau mekanikal yang membolehkan mesej dipersembahkan kepada pelajar seperti  televisyen, projektor LCD, komputer.


    Dari segi pengajaran, Heinich (2002) berpendapat bahawa jika media membawa mesej tentang pengajaran, maka media itu merupakan media pengajaran. Begitu juga dengan Kemp dan Semellie (1994), media pengajaran ialah bahan-bahan audio visual dan bahan-bahan berkaitan dengannya yang berfungsi dalam pelaksanaan sesuatu pengajaran. Oleh itu, media pengajaran adalah segala sesuatu yang dapat digunakan untuk menyalurkan pesanan daripada pengirim kepada penerima sehingga dapat merangsang fikiran, perasaan, perhatian, minat serta perhatian pelajar dan seterusnya terjadinya proses pembelajaran.


    Nyatakan kelebihan menggunakan media dalam pengajaran
    Apakah jenis media yang akan anda gunakan untuk mengajar:
    (a) Sains mengenai rupa atom;
    (b) Matematik mengenai set, subset dan tindanan:
    (c) Perbezaan lagu-lagu klasik Timur; dan
    (d) Contoh binatang-binatang terancam di Malaysia?

    2.2 Fungsi Media Dalam Pengajaran dan Pembelajaran


    Sejauh manakah media pengajaran memainkan fungsi dalam pengajaran dan pembelajaran?

    Antara fungsi media pengajaran ialah:

    (a) Memperjelaskan Penyampaian Mesej

    Anggapan biasa iaitu perkataan sudah memadai untuk menyatakan sesuatu mesej seringkali menyebabkan kita menghadapi pelbagai masalah komunikasi. Adalah lebih berkesan jika perkataan disertakan dengan gambar atau simbol yang lebih konkrit maknanya. Dalam era teknologi komputer dan maklumat ini, penjelasan akan lebih berkesan dan menarik seperti melalui penggunaan animasi, bunyi dan muzik dapat dilakukan.

    (b) Mengatasi Batasan Ruang, Waktu dan Pancaindera

    Antara contoh berkaitan dengan mengatasi batasan ruang, waktu dan pancaindera:
    (i)         Objek yang terlalu besar atau kecil boleh digantikan dengan model, gambar, transparensi, filem atau video.
    (ii)        Gerak yang terlalu lambat atau terlalu cepat dapat dibantu dengan timelapse atau high-speed photography.
    (iii)       Kejadian yang berlaku pada masa lalu dapat ditampilkan dalam bentuk filem, gambar foto mahupun secara lisan.
    (iv)       Objek yang terlalu kompleks (misalnya mesin) dapat ditunjukkan dalam bentuk model, gambar rajah, dll.
    (v)        Konsep yang terlalu luas atau abstrak dapat divisualkan.


    (c) Penggunaan Media Pengajaran Secara Betul dan Bervariasi

    Penggunaan media pengajaran secara betul dan bervariasi dapat mengatasi sikap pasif pelajar kerana ia menimbulkan minat, meningkatkan interaksi dan kefahaman pelajar tentang realiti. Pelajar juga boleh belajar sendirian, menurut kemampuan dan keselesaan masing-masing.


    (d) Pengalaman dan Persepsi yang Sama

    Walaupun kurikulum dan bahan pengajaran ditentukan sama bagi setiap pelajar, sifat unik yang ada pada setiap pelajar, ditambah dengan persekitaran yang berbeza membuatkan guru mengalami kesulitan. Keadaan ini dapat diatasi dengan media pengajaran kerana kemampuannya dalam memberikan rangsangan pengalaman dan persepsi yang sama. Misalnya, sebuah perisian kursus boleh digunakan berulang kali oleh pelajar tanpa merosakkan kandungan asal. Belajar secara berulang kali ini membantu pelajar membentuk persepsi yang sama dan tepat tentang sesuatu konsep atau prinsip.







    Bincangkan apa yang dimaksudkan media pengajaran?,
    Nyatakan ciri-ciri dan jenis-jenis media pengajaran. 
    Bincangkan apakah kesan dan kepentingan media pengajaran dalam proses P&P.

    2.3 Pengkelasan Media Pengajaran

             Nilai bahan pandang dengar bergantung kepada tahap realisme bahan itu. Semakin tinggi tahap realismenya maka semakin tinggi nilai bahan tersebut. (Hoban dan Zissman, 1937) Oleh itu, para pengkaji telah mencipta konsep penyusunan hirarki kaedah pengajaran berasaskan tahap realisme.  Salah satu usaha dilakukan oleh Edgar Dale 91946) dan dikenali sebagai Kon Pengalaman Dale.
    Rajah 3.1 Kon Pengalaman Dale

    Kon Pengelaman Dale menekankan pengalaman konkrit pelajar berlaku apabila mereka terlibat secara langsung dalam aktiviti itu. Pengalaman konkrit akan semakin berkurangan apabila pelajar menjadi pemerhati. Pengalaman abstrak akan berlaku jika simbol visual dan verbal digunakan untuk mewakili peristiwa.  Oleh itu, kon ini menyusun media bermula daripada media yang konkrit di tapak. Semakin ke atas ialah media visual dan di mercu kon ialah media-media yang abstrak.

    Brunner (1966) menafsirkan Kon Pengalaman Dale kepada tiga jenis pengalaman iaitu pengalaman enaktif, pengalaman ikonik dan pengamalan simbolik. Pengalaman enaktif merupakan pengalaman secara langsung atau pengelaman sebenar. Pengalaman ikonik menggunakan simbol-simbol visual untuk mewakili satu perkara. Pengalaman simbolik atau digital menggunakan perkataan semata-mata. Oleh itu, Brunner mencadangkan pengajaran harus bermula daripada pengalaman enaktif. Ini disebabkan pelajar tidak dapat belajar jika media yang digunakan tidak sesuai. Jadi, jika pelajar tidak faham akan konsep yang abstrak maka mereka cuma menghafal sahaja tanpa memahami konsep.


    Dengan menggunakan persembahan elektronik atau perisian yang sesuai bina carta atau pengurusan grafik yang sesuai untuk menunjukkan klasifikasi media pengajaran.

    2.4 Pemilihan Media

    Pemilihan media yang sesuai dapat memastikan maklumat dipersembahkan dengan cara yang paling efektif dan efisien. Pemilihan media perlu menekankan aspek mengenali ciri-ciri media itu terlebih dahulu daripada terus memilih atau menentukan peralatan dan bahan yang hendak digunakan.

    Faktor-faktor yang menentukan pemilihan media yang sesuai ialah:
    a) Objektif pengajaran dan pembelajaran
    b) Ciri-ciri Pelajar
    c) Kaedah pengajaran
    d) Faktor-faktor lain yang praktikal

    2.4.1 Pemilihan media berdasarkan objektif pengajaran dan
    Pembelajaran

    Sesuatu media pengajaran dipilih berasaskan potensinya melaksanakan objektif pembelajaran dengan berkesan.  Jadi adalah penting untuk mengenal pasti objektif sebelum memilih media. Jadual berikut menggariskan hubungan media dan objektif:

    Kemahiran
    Media Pengajran
    Motor
    Alatan mudah alih, Perkakasan latihan
    Mental
    Carta, filem, OHP, Slaid, Kit latihan, Video
    Lisan
    Carta, filem, OHP, Alatan mudah alih, Slaid, Kit latihan, Video
    Sikap
    Filem, Slaid, Video


    2.4.2 Pemilihan media berdasarkan ciri-ciri pelajar

    Model ASSURE menyarankan tiga aspek pemilihan media berdasarkan ciri-ciri pelajar iaitu:

    a) Ciri-ciri umum pelajar seperti umur, latar belakang sosio ekonomi,
    b) Keperluan khusus pelajar seperti pengetahuan sedia ada pelajar tentang tajuk yang akan dipelajari, dan
    c) Gaya pembelajaran pelajar.  Pengajar perlu mengetahui gaya pembelajaran pelajar yang pelbagai supaya dia dapat menggunakan pelbagai pendekatan yang sesuai dengan kepelbagaian gaya pelajar.  Jadual 3.1, 3.2 dan 3.3 merumuskan tiga gaya pembelajaran pelajar dan cadangan media yang sesuai dengannya.

    Pelajar Visual biasanya
    Cadangan Media Pengajaran
    - perlu melihat untuk memahami
    Gunakan grafik (filem, slaid, ilustrasi, rajah dan lakaran) untuk pengukuhan
    - peka akan warna
    Kod warna untuk membuat nota
    - mempunyai bakat seni (artistik)
    Arahan bertulis
    - sukar menerima arahan atau syarahan dalam bentuk lisan
    Carta alir
    - kerap salah tafsir makna perkaraan
    Gambarkan perkataan / fakta yang dihafal
    - agresif pada bunyi-bunyian



    Pelajar Auditori biasanya
    Cadangan Media Pengajaran
    - suka mendapat maklumat dengan mendengar
    Gunakan alat rakam untuk membaca dan mengikuti kelas
    - perlu mendengar untuk memahami
    Membuat temu bual atau perbincangan
    - bermasalah dengan arahan bertulis
    Soalan peperiksaan atau arahan-arahan perlu dibaca secara lisan atau dirakam.
    - tidak suka membaca

    - bermasalah dalam menulis

    - tidak peka dengan bahasa badan

    Followers