Bahan Audio Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran

Posted by


TAJUK 8 : BAHAN AUDIO DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

6.1      Penggunaan peralatan audio
6.2      Perancangan dan penyediaan rakaman
6.3      Rakaman
6.4      Suntingan


Pengenalan Audio
Kesan bunyi atau audio berperanan penting dalam sesebuah persembahan multimedia. Muzik dapat mempengaruhi emosi pengguna dan kesan bunyi yang baik mewujudkan keadaan yang seimbang dan harmoni. Audio  juga mampu menimbulkan keseronokan, meningkatkan minat dan mencorakkan  sesebuah persembahan multimedia. Justeru itu audio atau bunyi merupakan antara elemen yang sepatutnya diambil kira ketika merancang pembangunan sesebuah aplikasi multimedia. Audio sangat berkesan untuk menarik perhatian pengguna. Bagi persembahan yang lebih kompleks, suara latar atau “voice-over”  dengan iringan muzik pastinya mampu menarik perhatian dan menyeronokkan di samping menyampaikan maklumat serta meningkatkan kefahaman terhadap isi kandungan yang dipersembahkan.


Bunyi Analog dan Bunyi Digital
Bunyi bergerak dalam bentuk gelombang. Getaran yang terhasil di udara atau objek lain membentuk satu gelombang yang menggetarkan gegendang telinga kita dan didengar sebagai satu kesan bunyi. Ketika tiada gelombang bunyi yang wujud, tekanan udara adalah tetap berbanding apabila wujud gelombang bunyi, tekanan udara akan berubah ke paras yang lebih tinggi ataupun ke paras yang lebih rendah daripada tekanan atmosfera yang normal. Nilai perubahan ini akan diterima sebagai kekuatan bunyi sesuatu audio. Kekuatan bunyi ini dikenali sebagai amplitud dan unit ukurannya ialah decibel (dB). Kadar tekanan udara berkaitan dengan frekuensi gelombang bunyi pula disebut pitch. Corak gelombang boleh dilakarkan dalam graf dan didapati bentuk graf seperti berikut:



Gelombang bunyi dapat diwakili oleh corak sinus dikenali sebagai gelombang analog. Corak sinus tersebut mewakili amplitud dan juga frekuensi audio. Semakin tinggi puncak pada gelombang bermakna semakin tinggi amplitud dan semakin kuat bunyi terhasil. Jarak di antara puncak dengan puncak pula mewakili frekuensi yang mana semakin jauh jarak antaranya, semakin kecil nada suara atau pitch yang terhasil.

Frekuensi sebenarnya merujuk kepada bilangan kitaran yang berlaku bagi setiap satu saat. Bilangan frekuensi akan mempengaruhi kualiti sesuatu audio yang dirakamkan. Frekuensi diukur dalan unit Hertz (Hz). Setiap corak tersebut muncul sebanyak 1000 kali dalam masa 1 saat, bersamaan dengan 1000 Hz atau 1 KHz. Pemain dan perakam kaset audio, piring hitam, kaset video, CD audio (muzik) dan sebagainya menyimpan data audio dalam bentuk analog.

Perkembangan teknologi membolehkan kaedah penyimpanan yang hampir sama digunakan di antara data audio analog dan juga data audio digital. Ini membolehkan CD muzik biasa (analog) boleh dibaca oleh pemain cakera padat digital (contohnya pemacu cakera pada sesebuah komputer). Namun demikian tidak semua kaedah penyimpanan data tersebut adalah sama dan serasi. Oleh yang demikian data audio analog dan digital perlu diterjemahkan bagi membolehkan ianya difahami oleh media-media yang berlawanan.

Cip yang berperanan bagi mengubah signal analog kepada denyutan dinamakan penterjemah analog digital atau analog digital converters (ADC). Proses sebaliknya adalah untuk menukarkan gelombang digital kepada analog menggunakan cip penterjemah digital analog atau digital analog converters (DAC). Cip-cip ini biasanya sedia terbina di dalam kad audio (sound card).

Cip ADC mengukur amplitud bagi gelombang analog dan mengubah setiap ukuran gelombang tersebut kepada denyutan digital yang berkaitan dengan kod bit agar boleh difahami oleh sistem komputer, begitu juga sebaliknya.

Corak gelombang digital terbentuk daripada bar-bar turus seperti rajah dibawah.
                                           


Penggunaan Peralatan Audio
Untuk menerbitkan bahan audio anda memerlukan beberapa bahan dan peralatan asas seperti berikut:
1.    Alat perakam.
2.    Mikrofon
3.    Pita audio atau kaset audio
4.    Kabel

Alat Perakam

Perakam Radio kaset:
Perakam Audio yang mudah ialah pemain kaset yang biasa terdapat di pasaran. Walaubagaimanapun tidak semua pemain kaset boleh merakam audio. Cara mudah mengenali pemain kaset yang boleh membuat rakaman atau rekod ialah dengan melihat kehadiran butang rakaman @ rekod ( biasanya butang ini berwarna merah ). Biasanya alat ini mempunyai mikrofon yang terbina di dalamnya dan dirakam ke dalam pita rakaman. Pita ini berupaya merakam dalam tempoh masa tertentu seperti:
·         C-60 (boleh merakam selama 60 minit dengan menggunakan kedua-dua belah bahagian)
·         C-90 (45 minit setiap bahagian)
·         C-120 ( 60 minit bagi setiap bahagian )

Mikrofon:
Kualiti bunyi banyak bergantung pada pemilihan penggunaan mikrofon  bagi menghasilkan rakaman yang jelas. Mikrofon boleh diklasifikasikan mengikut jenis penggunaan dan bentuk penerimaan bunyi dan mekanismenya.

Jenis mikrofon mengikut penggunaan:

Mikrofon Mini.
Mikrofon Mini dibahagi kepada dua iaitu tie pin dan neck hanging. Tie pin lebih kecil saiznya dan biasanya disematkan pada tali leher atau kolar baju. Jenis Neck Hanging pula biasanya digantung pada leher.

Mikrofon Tanpa Wayar
Mikrofon Tanpa Wayar ini memerlukan alat penerima (receiver), tanpa sebarang      wayar di antara mikrofon dengan alat penerima tersebut. Isyarat dihantar secara gelombang dari mikrofon ke alat penerima melalui antena. Mikrofon jenis ini biasa digunakan oleh pengguna yang aktif.

Jenis mikrofon mengikut bentuk penerimaan bunyi:

a.    Mikrofon semua hala (Omni – Direction ).
      Menerima bunyi dari semua arah, biasa diguna untuk perbincangan kumpulan atau temubual.

b.    Mikrofon Dua Hala (Bi-Direction).
      Menerima bunyi dari bahagian depan dan belakang sahaja. Sesuai dalam keadaan soal jawab atau temubual antara dua orang.

c.    Mikrofon Satu Hala (Uni-Directional).
      Sesuai untuk penyampai atau suatu situasi di mana bunyi-bunyi asing berada dalam aras paling minimum.

d.   Mikrofon Shortgun.
      Mikrofon satu hala yang berupaya menerima bunyi dari sudut yang sempit dalam jarak yang agak jauh. Sesuai digunakan sekiranya anda tidak berupaya menghampiri sesuatu punca bunyi seperti bunyi burung, acara sukan dan seumpamanya.

Perancangan Dan Penyediaan Rakaman
Beberapa langkah digunakan dalam merancang dan penyediaan rakaman audio perlu diberi perhatian sebelum keputusan dibuat, iaitu:
1.    Tetapkan matlamat.
Tujuan penerbitan bahan audio perlu ditentukan dengan mempertimbangkan
a.    Siapa kumpulan sasaran?  Atau tahap pelajar?
b.    Bagaimana kebolehan berbahasa pelajar?
c.    Minat dan motivasi mereka?   
d.    Adakah bahan audio yang akan dihasilkan sejajar dengan sukatan pelajaran?
e.    Kesesuaiannya dengan objektif pengajaran?

2.    Mengumpul bahan.
Kumpul bahan-bahan dan sumber-sumber yang diperlukan. Fakta-fakta yang dimasukkan hendaklah betul dan mencukupi dan sesuai dengan sukatan pelajaran. Kesan-kesan bunyi, muzik serta lagu-lagu tertentu yang mungkin diperlukan harus dikumpul.

3.    Pemilihan bahan.
Anda perlu memilih bahan-bahan yang bersesuaian sahaja dengan matlamat penghasilan bahan.

4.    Menulis skrip.
Anda harus menulis atau mengarang kandungan bahan audio anda.

5.    Menyediakan peralatan.
Seperti peralatan asas yang terdiri daripada alat perakam, mikrofon, pengadun audio, kaset atau pita audio dan kabel-kabel yang sesuai. Jika penyediaan rakaman audio dihasilkan dalam format digital, perkakasan komputer diperlukan bagi tujuan rakaman dan suntungan.


Rakaman
1.    Sebelum rakaman dijalankan, latihan membaca skrip perlu dibuat supaya semua pelakun bersedia. Setelah semua bersedia, rakaman suara, memasukkan kesan-kesan bunyi serta muzik-muzik latar boleh mula dijalankan.
2.    Rakaman perlu dibuat di tempat yang boleh meminimakan bunyi asing seperti membuat rakaman di dalam bilik rakaman. Bilik rakaman ialah sebuah bilik kalis bunyi (sound-proof) perlu disediakan bagi mengelakkan gangguan bunyi luar ketika rakaman.
3.    Semasa rakaman, skrip digunakan sebagai panduan kepada juruteknik audio untuk memberi arahan kepada pelakun semasa rakaman dijalankan.
4.    Sebelum rakaman dijalankan, ujian suara dan ujian penyelarasan sistem audio perlu dijalankan. Ini untuk mendapatkan mutu rakaman yang terbaik.
5.    Jalankan rakaman berpandukan skrip.



Suntingan
1.   Rakaman audio dijalankan dengan mudah jika melibatkan seorang pelakun sahaja. Bagaimana sekiranya anda hendak merakam suara narator dan dalam masa yang sama terdapat kesan bunyi dan muzik latar? Terdapat dua cara bagaimana rakaman pelbagai punca bunyi dihasilkan iaitu:

  1. Anda memerlukan tiga pemain kaset, satu untuk merakam dan dua lagi untuk memainkan kesan bunyi dan muzik latar. Rakaman dijalankan serentak secara rakaman terbuka, iaitu semua kesan bunyi dirakam ke dalam kaset rakaman.
  2. Menggunakan alat pengadun suara (audio mixer). Pengadun suara adalah alat yang mempunyai banyak saluran input yang boleh dilaras bahananya dan satu output untuk rakaman.

2.   Suntingan juga boleh dibuat dengan menggunakan komputer. Semua hasil rakaman disunting dengan menggunakan  perisian khas. Cara ini lebih mudah dengan sebarang kesilapan rakaman boleh diminima dan dibetulkan dengan lebih mudah.


Pra Tonton
Sebelum hasil rakaman digunakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran, satu sesi pra tonton perlu dijalankan bagi mengesan sebarang kesilapan. Sebarang kesilapan atau kekurangan yang dikesan perlu dibetulkan semula atau jika perlu rakaman semula perlu dijalankan.

Penggunaan bahan rakamanan
Media audio berupaya untuk memberi sumbangan unik terhadap proses pengajaran dan pembelajaran seperti pembelajaran kendiri bagi murid-murid yang kurang keupayaan membaca, pembelajaran bahasa asing, bercerita untuk memerangsang imaginasi, muzik untuk aktiviti fizikal dan sebagainya. Alat-alat seperti radio kaset dan CD seharusnya adalah sesuatu yang biasa digunakan dalam bilik darjah disebabkan penggunaannya yang mudah. Walau bagaimanapun penggunaan media audio yang berkesan memerlukan kefahaman tentang proses pendengaran serta pemilihan bahan berdasarkan objektif pengajaran. Mendengar adalah merupakan suatu proses komunikasi. Terdapat dua aspek penting yang perlu anda fahami mengenai proses pendengaran iaitu mendengar (hearing) dan mendengar dengan memberi perhatian (listening). Proses mendengar atau “hearing” hanyalah satu proses fisiologi sementara mendengar dengan memberi perhatian adalah merupakan proses psikologi.

Penghasilan bahan-bahan audio yang dirancang dengan baik dapat membantu dalam mempertingkatan tumpuan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran di samping memberi kelebihan kepada pelajar untuk menggunakan kemahiran mendengar.



Latihan
Tuliskan sebuah skrip yang berkaitan dengan mana-mana tajuk dalam mata pelajaran opsyen anda. Dengan menggunakan peralatan yang terdapat di sekolah dan pertolongan guru-guru dan murid-murid, cuba hasilkan sebuah rakaman audio sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran. Gunakan bahan tersebut dalam pengajaran dan bincangkan pengalaman anda ketika tutorial.


Blog, Updated at: 7:59 AM

3 comments:

  1. Post yang baik untuk rujukan. mungkin mudah bagi guru menggunakan audio jika berkemahiran. Kalau tidak guna yang sedia ada.

    ReplyDelete
  2. Assalam, klau kita dh buat video pembelajaran, cmna nk terbit Dan edarkn? Kena buat syarikat ke?

    ReplyDelete