Media Pengajaran

Posted by

Hasil Pembelajaran :

Dengan mengikuti modul ini anda akan dapat:

a)     Menjelaskan konsep media dan media pengajaran
b)     Merumuskan fungsi media pengajaran
c)     Menyatakan pengkelasan media pengajaran
d)     Menganalisis faktor dan cara permilihan media pengajaran
e)     Menyata dan menghuraikan langkah penyediaan media pengajaran 

Subtajuk :

  • Konsep Media Pengajaran
  • Fungsi media dalam pengajaran  dan  pembelajaran
  • Jenis-jenis dan klasifikasi media
Kandungan :

Apakah media pengajaran?
Bagaimana media boleh meningkatkan keberkesanan proses Pengajaran dan Pembelajaran?
Bagaimana media boleh diklasifikasikan?
Apakah fungsi media pengajaran?
Apakah faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan di dalam memilih media pengajaran?
Apakah langkah-langkah yang perlu di dalam menyediakan bahan media pengajaran?

2.1 Konsep Media dan Media Pengajaran

Bidang teknologi pengajaran tercetus daripada pergerakan audio visual yang kemudiannya dikenali sebagai media pengajaran. Oleh itu, bolehlah dikatakan media pengajaran menjadi pengasas kepada penubuhan bidang teknologi pengajaran.

Media atau medium bermakna saluran komunikasi. Istilah ini berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud perantara. Media digunakan untuk membantu proses komunikasi (Heinich, 2002) Ia merujuk kepada apa sahaja yang membawa maklumat daripada penyampai kepada penerima. Contoh media termasuklah filem, televisyen, radio, rakaman audio, gambar foto, bahan bercetak, komputer dan pengajar.

            Definisi asal tentang media menekankan bentuk atau cara fizikal yang membolehkan mesej pengajaran disampaikan. Ini bermakna yang menjadi fokus ialah peralatan yang membawa mesej dan mengenepikan peranan mesej itu sendiri. Sedangkan yang menggerakkan dan memberi kesan kepada manusia ialah mesej.

Oleh itu menurut Torkleson (1972), media perlu mempunyai tiga bahagian, iaitu mesej, bentuk mesej dan saluran mesej.  Mesej merujuk kepada isi kandungan dalam media itu sama ada mesej yang berbentuk memberitahu, menaikkan semangat dan lain-lain adalah dikira sebagai mesej. Bentuk mesej pula berkaitan bagaimana mesej itu disimpan. Mesej boleh disimpan dalam bentuk perkataan, lisan, gambar, objek, simbol dll. Manakala saluran mesej ialah peralatan fizikal dalam bentuk elektrikal atau mekanikal yang membolehkan mesej dipersembahkan kepada pelajar seperti  televisyen, projektor LCD, komputer.


Dari segi pengajaran, Heinich (2002) berpendapat bahawa jika media membawa mesej tentang pengajaran, maka media itu merupakan media pengajaran. Begitu juga dengan Kemp dan Semellie (1994), media pengajaran ialah bahan-bahan audio visual dan bahan-bahan berkaitan dengannya yang berfungsi dalam pelaksanaan sesuatu pengajaran. Oleh itu, media pengajaran adalah segala sesuatu yang dapat digunakan untuk menyalurkan pesanan daripada pengirim kepada penerima sehingga dapat merangsang fikiran, perasaan, perhatian, minat serta perhatian pelajar dan seterusnya terjadinya proses pembelajaran.


Nyatakan kelebihan menggunakan media dalam pengajaran
Apakah jenis media yang akan anda gunakan untuk mengajar:
(a) Sains mengenai rupa atom;
(b) Matematik mengenai set, subset dan tindanan:
(c) Perbezaan lagu-lagu klasik Timur; dan
(d) Contoh binatang-binatang terancam di Malaysia?

2.2 Fungsi Media Dalam Pengajaran dan Pembelajaran


Sejauh manakah media pengajaran memainkan fungsi dalam pengajaran dan pembelajaran?

Antara fungsi media pengajaran ialah:

(a) Memperjelaskan Penyampaian Mesej

Anggapan biasa iaitu perkataan sudah memadai untuk menyatakan sesuatu mesej seringkali menyebabkan kita menghadapi pelbagai masalah komunikasi. Adalah lebih berkesan jika perkataan disertakan dengan gambar atau simbol yang lebih konkrit maknanya. Dalam era teknologi komputer dan maklumat ini, penjelasan akan lebih berkesan dan menarik seperti melalui penggunaan animasi, bunyi dan muzik dapat dilakukan.

(b) Mengatasi Batasan Ruang, Waktu dan Pancaindera

Antara contoh berkaitan dengan mengatasi batasan ruang, waktu dan pancaindera:
(i)         Objek yang terlalu besar atau kecil boleh digantikan dengan model, gambar, transparensi, filem atau video.
(ii)        Gerak yang terlalu lambat atau terlalu cepat dapat dibantu dengan timelapse atau high-speed photography.
(iii)       Kejadian yang berlaku pada masa lalu dapat ditampilkan dalam bentuk filem, gambar foto mahupun secara lisan.
(iv)       Objek yang terlalu kompleks (misalnya mesin) dapat ditunjukkan dalam bentuk model, gambar rajah, dll.
(v)        Konsep yang terlalu luas atau abstrak dapat divisualkan.


(c) Penggunaan Media Pengajaran Secara Betul dan Bervariasi

Penggunaan media pengajaran secara betul dan bervariasi dapat mengatasi sikap pasif pelajar kerana ia menimbulkan minat, meningkatkan interaksi dan kefahaman pelajar tentang realiti. Pelajar juga boleh belajar sendirian, menurut kemampuan dan keselesaan masing-masing.


(d) Pengalaman dan Persepsi yang Sama

Walaupun kurikulum dan bahan pengajaran ditentukan sama bagi setiap pelajar, sifat unik yang ada pada setiap pelajar, ditambah dengan persekitaran yang berbeza membuatkan guru mengalami kesulitan. Keadaan ini dapat diatasi dengan media pengajaran kerana kemampuannya dalam memberikan rangsangan pengalaman dan persepsi yang sama. Misalnya, sebuah perisian kursus boleh digunakan berulang kali oleh pelajar tanpa merosakkan kandungan asal. Belajar secara berulang kali ini membantu pelajar membentuk persepsi yang sama dan tepat tentang sesuatu konsep atau prinsip.







Bincangkan apa yang dimaksudkan media pengajaran?,
Nyatakan ciri-ciri dan jenis-jenis media pengajaran. 
Bincangkan apakah kesan dan kepentingan media pengajaran dalam proses P&P.

2.3 Pengkelasan Media Pengajaran

         Nilai bahan pandang dengar bergantung kepada tahap realisme bahan itu. Semakin tinggi tahap realismenya maka semakin tinggi nilai bahan tersebut. (Hoban dan Zissman, 1937) Oleh itu, para pengkaji telah mencipta konsep penyusunan hirarki kaedah pengajaran berasaskan tahap realisme.  Salah satu usaha dilakukan oleh Edgar Dale 91946) dan dikenali sebagai Kon Pengalaman Dale.
Rajah 3.1 Kon Pengalaman Dale

Kon Pengelaman Dale menekankan pengalaman konkrit pelajar berlaku apabila mereka terlibat secara langsung dalam aktiviti itu. Pengalaman konkrit akan semakin berkurangan apabila pelajar menjadi pemerhati. Pengalaman abstrak akan berlaku jika simbol visual dan verbal digunakan untuk mewakili peristiwa.  Oleh itu, kon ini menyusun media bermula daripada media yang konkrit di tapak. Semakin ke atas ialah media visual dan di mercu kon ialah media-media yang abstrak.

Brunner (1966) menafsirkan Kon Pengalaman Dale kepada tiga jenis pengalaman iaitu pengalaman enaktif, pengalaman ikonik dan pengamalan simbolik. Pengalaman enaktif merupakan pengalaman secara langsung atau pengelaman sebenar. Pengalaman ikonik menggunakan simbol-simbol visual untuk mewakili satu perkara. Pengalaman simbolik atau digital menggunakan perkataan semata-mata. Oleh itu, Brunner mencadangkan pengajaran harus bermula daripada pengalaman enaktif. Ini disebabkan pelajar tidak dapat belajar jika media yang digunakan tidak sesuai. Jadi, jika pelajar tidak faham akan konsep yang abstrak maka mereka cuma menghafal sahaja tanpa memahami konsep.


Dengan menggunakan persembahan elektronik atau perisian yang sesuai bina carta atau pengurusan grafik yang sesuai untuk menunjukkan klasifikasi media pengajaran.

2.4 Pemilihan Media

Pemilihan media yang sesuai dapat memastikan maklumat dipersembahkan dengan cara yang paling efektif dan efisien. Pemilihan media perlu menekankan aspek mengenali ciri-ciri media itu terlebih dahulu daripada terus memilih atau menentukan peralatan dan bahan yang hendak digunakan.

Faktor-faktor yang menentukan pemilihan media yang sesuai ialah:
a) Objektif pengajaran dan pembelajaran
b) Ciri-ciri Pelajar
c) Kaedah pengajaran
d) Faktor-faktor lain yang praktikal

2.4.1 Pemilihan media berdasarkan objektif pengajaran dan
Pembelajaran

Sesuatu media pengajaran dipilih berasaskan potensinya melaksanakan objektif pembelajaran dengan berkesan.  Jadi adalah penting untuk mengenal pasti objektif sebelum memilih media. Jadual berikut menggariskan hubungan media dan objektif:

Kemahiran
Media Pengajran
Motor
Alatan mudah alih, Perkakasan latihan
Mental
Carta, filem, OHP, Slaid, Kit latihan, Video
Lisan
Carta, filem, OHP, Alatan mudah alih, Slaid, Kit latihan, Video
Sikap
Filem, Slaid, Video


2.4.2 Pemilihan media berdasarkan ciri-ciri pelajar

Model ASSURE menyarankan tiga aspek pemilihan media berdasarkan ciri-ciri pelajar iaitu:

a) Ciri-ciri umum pelajar seperti umur, latar belakang sosio ekonomi,
b) Keperluan khusus pelajar seperti pengetahuan sedia ada pelajar tentang tajuk yang akan dipelajari, dan
c) Gaya pembelajaran pelajar.  Pengajar perlu mengetahui gaya pembelajaran pelajar yang pelbagai supaya dia dapat menggunakan pelbagai pendekatan yang sesuai dengan kepelbagaian gaya pelajar.  Jadual 3.1, 3.2 dan 3.3 merumuskan tiga gaya pembelajaran pelajar dan cadangan media yang sesuai dengannya.

Pelajar Visual biasanya
Cadangan Media Pengajaran
- perlu melihat untuk memahami
Gunakan grafik (filem, slaid, ilustrasi, rajah dan lakaran) untuk pengukuhan
- peka akan warna
Kod warna untuk membuat nota
- mempunyai bakat seni (artistik)
Arahan bertulis
- sukar menerima arahan atau syarahan dalam bentuk lisan
Carta alir
- kerap salah tafsir makna perkaraan
Gambarkan perkataan / fakta yang dihafal
- agresif pada bunyi-bunyian



Pelajar Auditori biasanya
Cadangan Media Pengajaran
- suka mendapat maklumat dengan mendengar
Gunakan alat rakam untuk membaca dan mengikuti kelas
- perlu mendengar untuk memahami
Membuat temu bual atau perbincangan
- bermasalah dengan arahan bertulis
Soalan peperiksaan atau arahan-arahan perlu dibaca secara lisan atau dirakam.
- tidak suka membaca

- bermasalah dalam menulis

- tidak peka dengan bahasa badan


Blog, Updated at: 2:46 AM

0 comments:

Post a Comment