Apresiasi
Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka menyatakan maksud apresiasi ialah penghargaan, pengiktirafan serta penghayatan nilai (sesuatu karya) sastera atau seni. Sementara kamus Inggeris- Melayu Dewan menjelaskan definisi ‘appreciation’ bermaksud penikmatan, penghayatan, tahu menikmati, dan tahu menghayati termasuk yang berhubung dengan karya seni. Academic Dictionary of Arts menjelaskan ‘art appreciation’ sebagai “the introduction of basic principles of visual literacy especially the means to analyzing form whether with or without reference to subject matter, symbolism or historical context to general audiences for the purpose of enhancing their enjoyment of works of art”
Maksudnya; apresiasi seni sebagai pengenalan kepada prinsip asas bahasa tampak terutamanya untuk menganalisa bentuk samada dengan atau tanpa merujuk kepada subjek matter, simbolisma, atau konteks sejarahnya, bagi orang ramai untuk meningkatkan penikmatan dan penghayatan terhadap karya seni.
Mohd Johari (2004) menyatakan; Apresiasi seni ialah aktiviti seperti menonton, menghayati, atau apresiasi seni juga merupakan salah satu bidang kritikan seni. Beliau memetik tulisan Zakaria Ali (1998), bahawa penghargaan atau apresiasi seni adalah satu latihan yang memerlukan penglibatan sepenuhnya deria pandang dan sentuh. Johari juga berpendapat penafsiran terhadap karya seni itu boleh difahami apabila kita berpeluang menghargainya.
Terdapat banyak ulasan ilmiah yang boleh dipetik untuk menjelaskan maksud apresiasi dalam konteks seni oleh penulis tempatan mahupun dari luar negara namun keseluruhannya menjurus kearah maksud yang sama iaitu satu aktiviti memerhati, mengkaji dan menilai produk seni agar lebih memahami bentuk serta isinya. Hasilnya khalayak akan menjadi lebih puas menikmati karya seni dengan penuh penghayatan serta sedar akan aspek bahasa visual yang dipersembahkan oleh pengkarya. Kemampuan menghayati karya seni dengan lebih mendalam memerlukan penghayat mempunyai pengetahuan asas seni visual. Pengetahuan tersebut telahpun sedia ada dalam setiap pelajar sekolah atau lepasan pelajar sekolah di Malaysia sejak mata pelajaran Pendidikan Seni Visual dijadikan mata pelajaran wajib dalam kurikulum bersepadu.
Kritikan
Jika apresiasi seni merupakan satu aktiviti memerhati, menghayati dan menikmati karya seni. Kritikan seni pula merupakan instrumen yang digunakan dalam apresiasi seni visual. Aktiviti kritikan seni temasuk perbincangan secara ilmiah tentang karya seni serta apa sahaja yang berkaitan dengan karya tersebut samada secara lisan atau diterbitkan sebagai artikel dalam jurnal, majalah atau akhbar. Pengetahuan mengenai biografi seniman juga amat penting kerana ia juga turut dibincangkan. Aspek persekitaran dimana seniman tinggal, gaya hidup, percintaan dan pelbagai isu peribadi turut disentuh kerana semua itu mempengaruhi ekspresi dalam pengkaryaan. Perbincangan lebih tertumpu kepada mendalami aspek formal yang terlibat dalam penghasilan karya. Seterusnya kritikan dibuat terhadap tema serta makna yang cuba disampaikan oleh pengkarya. Aktiviti kritikan disudahi dengan sedikit penilaian dimana penghayat akan membuat pertimbangan secara formalisme, ekspresiviseme dan instrumentalisme terhadap karya yang di kritik. Penjelasan tentang tiga istilah diatas akan dibincangkan dalam bab seterusnya.
Kenapa perlu mengambil perkataan bahasa Inggeris padahal maksud perkataan apresiasi itu sudah ada dalam BM iaitu penghargaan?
ReplyDeleteSaya merasa sedikit janggal kerana perkataan penghargaan sudah ada. Ini tidak mengkayakan bahasa kita
ReplyDelete