Kuasi-Eksperimen

Posted by

Mahu jalankan kajian kuasi-eksperimen. Semasa buat Master dulu, kaedah inilah yang digunakan. Menarik dan mantop. Apapun, korang kena dalami dan fahami dulu kaedah ini sebelum buat keputusan menggunakannya.

Apakah kajian kuasi–eksperimen? 
Kajian ini biasanya digunakan untuk menilai keberkesanan suatu program apabila responden kajian tidak dapat diagihkan secara rawak. Dua kumpulan responden yang dipilih mestilah tidak seimbang dan tidak mempunyai ciri-ciri yang sama. Rekabentuk kuasi-eksperimen digunakan untuk menggantikan reka berbentuk eksperimen tulin apabila dalam proses pemilihan responden kajian, pengagihan secara rawak tidak dapat dilakukan oleh penyelidik (Chua, 2006). Tambahan lagi, kajian ini dilakukan ke atas individu yang sentiasa terdedah dengan ralat-ralat dari luar misalnya perbezaan jantina, umur, latar belakang, pengalaman lepas, pengetahuan sedia ada, pengaruh persekitaran dan sebagainya. Kesemua faktor berkenaan boleh mempengaruhi hasil eksperimen. Dalam perkataan lain, penyelidik kurang yakin sama ada perubahan pada responden kumpulan rawatan pada akhir eksperimen adalah disebabkan oleh rawatan yang diberikan kepadanya atau faktor-faktor luaran yang lain. 

Kajian ini biasanya digunakan oleh penyelidik bidang psikologi, sosiologi dan pendidikan (Neuman, 2000). Contoh, seorang penyelidik telah menjalankan kajian tentang keberkesanan program kaunseling ke atas pelajar-pelajar bermasalah disiplin di sebuah sekolah. Kajian ini menggunakan kaedah pemilihan responden untuk pensampelan bertujuan. Pensampelan ini menggunakan ciri-ciri tingkah laku bermasalah disiplin. Kumpulan rawatan merupakan pelajar yang bermasalah disiplin mana kala kumpulan kawalan ialah kumpulan pelajar tidak bermasalah disiplin. Perbezaan yang boleh dikenal pasti dari kedua-dua kumpulan berkenaan ialah jantina, bangsa, umur, tahap IQ, tahap pendidikan, pandangan dan sikap mereka. 

Sehubungan itu, kajian eksperimen tulen tidak dapat dilakukan tetapi penyelidik berkenaan boleh menjalankan kajian kuasi-eksperimen. Kajian kuasi-eksperimen menggunakan prosedur persampelan secara kebetulan/ pensampelan kesediaan (accidental atau convenience sampling) dan persempelan bertujuan (purposive sampling). Persampelan secara kebetulan, penyelidik memilih mana-mana responden kajian yang ditemuinya atau yang paling dekat dengannya. Pemilihan responden kajian ini akan menimbulkan ralat yang tidak boleh dijangka kerana prosedur persampelan secara kebetulan bukan melalui persampelan rawak (Chua, 2006). Persampelan bertujuan dalam kajian ini digunakan untuk mendapatkan kumpulan responden yang mempunyai ciri-ciri tertentu mengikut kehendak pe- nyelidik. Sebagai contoh, kajian pelajar bermasalah disiplin. Sampel kajian ialah pelajar-pelajar bermasalah disiplin. Sampel begini bukan merupakan sampel rawak. 

Terdapat pelbagai reka bentuk kajian kuasi-eksperimen tetapi penjelasan hanya diberikan kepada tiga reka bentuk yang biasa digunakan di kalangan penyelidik dalam bidang pendidikan. Mengikut Chua (2006), terdapat tiga reka bentuk kajian kuasi-eksperimen yang biasa digunakan iaitu Ujian pra-pasca kumpulan-kumpulan tidak seimbang (nonequivalent groups pre-post test design), Reka bentuk regrasi tidak bersambungan (regression-discontinuity design) dan Reka bentuk siri masa (time series design). Reka bentuk ujian pra-pasca kumpulan-kumpulan tidak seimbang merupakan reka bentuk yang paling popular digunakan dalam kajian keberkesanan dalam bidang pendidikan. Reka bentuk ini mempunyai dua kumpulan responden iaitu kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Kedua-dua kumpulan mempunyai ciri-ciri yang hampir sama. Dalam reka bentuk kajian ini, analisis Ujian-t dan Ujian ANOVA digunakan untuk menentukan perbezaan antara kedua-dua kumpulan responden. Reka bentuk regresi tidak bersambung biasanya digunakan dalam kajian yang melibatkan kumpulan khas misalnya menilai keberkesanan program pemulihan dan menguji keberkesanan program kaunseling ke atas sikap pelajar bermasalah disiplin. Analisis menggunakan Ujian regrasi. Reka bentuk siri masa merupakan kajian jangka masa panjang yang memerlukan masa dan tenaga yang banyak. Reka bentuk ini tidak mempunyai kumpulan kawalan. Penyelidik tidak dapat membuat perbandingan sama ada rawatan yang diberikan akan menghasilkan perubahan yang diingini atau pun tidak (Mohd. Majid, 2000). Pasca ujian akan dilakukan berulang-ulang sepanjang rawatan. Misalnya kajian berkaitan perkembangan pencapaian akademik pelajar yang didedahkan kepada KBSM. Analisis dilakukan melalui pencapaian ujian yang lebih baik.

Macamana? Boleh tahankan. Yang penting minat dan kesungguhan perlu ada walau apapun kaedah yang digunakan.


Blog, Updated at: 5:08 PM

4 comments:

  1. Salam Sejahtera

    Boleh senarai rujukan penuh Chua (2006)?

    Terima kasih

    ReplyDelete
  2. Terima kasih di atas perkongsian ilmu...

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah... Baru faham.
    Terima kasih atas perkongsian ilmu ini.

    ReplyDelete